VILLAGE Farm Industri, syarikat Bumiputera yang menjalankan perniagaan menternak ikan keli dan memprosesnya untuk ditin sebagai sardin, menjangka mampu mengeluarkan 12 juta ikan tahun ini.
Selain itu syarikat berkenaan juga menjangka memperoleh pendapatan kira-kira RM9 juta menerusi ikan keli yang dijadikan sardin kerana perniagaan makanan itu mendapat permintaan tinggi walaupun ia masih baru di negara ini.
Pengarah Urusannya, Jafridin Abdul Rahman, berkata pihaknya mampu menghasilkan kira-kira tiga juta ikan keli bagi tempoh tiga bulan untuk dihantar ke kilang yang melakukan kerja memproses ikan keli untuk ditin menjudi sardin.
Menurutnya, selain itu, syarikatnya juga mendapat permintaan dari Taiwan, Hong Kong dan China untuk memasarkan ikan keli segar ke negara terbabit.
“Mereka meminta kami membekalkan ikan keli segar dengan setiap negara meminta bekalan antara satu juta hingga dua juta ikan keli sebulan,” katanya kepada Bisnes Metro ketika ditemui di pusat ternakan ikan kelinya di Semenyih, Selangor.
Jafridin berkata, sehubungan itu, bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar negara, syarikatnya sedang membangunkan kawasan ternakan ikan keli di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar di Semenyih.
“Kawasan ini mempunyai 200 kolam yang boleh menghasilkan 10 juta ikan keli setiap tiga bulan, berbanding kira-kira tiga juta pengeluaran ikan keli di tapak ternakan menggunakan tangki.
“Kolam di Semenyih ini menggunakan konkrit selain ternakannya menggunakan tekonologi tempatan yang turut mendapat sokongan Jabatan Perikanan,” katanya.
Menurutnya, syarikatnya melabur kira-kira RM1 juta untuk pembinaan kolam ternakan yang sudah beroperasi dua bulan lalu.
“Kami juga sedang membuat kajian menyediakan makanan ikan keli sendiri tanpa perlu bergantung kepada bekalan syarikat luar.
“Ikan keli keluaran syarikat kami bersih daripada bahan tidak halal kerana kami tidak menggunakan makanan tambahan lain yang diragui status halalnya.
“Jika dibanding dengan ikan keli lain, kebanyakannya cepat berbau dan tidak tahan lama sebaik dikeluarkan dari kolam.
“Ini kerana mereka menggunakan perut ayam sebagai makanan tambahan bagi membesarkan ikan keli berkenaan, tidak seperti kami yang tidak menggunakan perut ayam,” katanya.
Powered by Qumana
0 comments:
Post a Comment