Friday, November 13, 2009

TIPS MENJADI PENTERNAK IKAN KELI YANG BERJAYA

"BUKAN SENANG HENDAK SENANG", itulah ungkapan yang sering kita dengar. Memang betul, segala-galanya perlukan pengorbanan anda untuk menuju kesenangan. Begitu juga hendaknya untuk menjadi seorang penternak ikan keli yang berjaya. Anda perlu ada pengorbanan terutama dari segi masa dan wang ringgit. Kemudian diikuti dengan minat yang mendalam serta tahan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi. Mereka yang mula untuk menceburi bidang ini tentunya akan menemui sedikit kegagalan mungkin disebabkan ilmu yang belum cukup serta tiada pengalaman. Bukan untuk mematahkan semangat anda tetapi ini adalah hakikat yang perlu diterima. Walau apa bidang sekali pun kesemuanya perlukan ilmu, ketahanan serta semangat yang jitu untuk berjaya. Anda berpegang kepada cita-cita anda dan cita-cita itulah sebagai perangsang utama anda terus fokus ke arah matlamat anda.

Sebagai seorang yang akan menjadi penternak berjaya, persediaan ilmu sangat-sangat penting. Anda terpaksa atau tidak kena sentiasa membuat sedikit kajian demi kajian sehingga segala kegagalan dapat diatasi. Carilah seberapa banyak maklumat untuk melengkapi pengetahuan dalam bidang penternakan ikan keli dari masa ke semasa. Inilah usaha yang saya lakukan pada setengah tahun yang pertama di mana saya lebih banyak mencari jalan penyelesaian setiap masalah yang ditempuhi. Serta saya sendiri telah membuat sedikit kajian terutama daripada daripada permasalahan air, penyakit dan sebagainya. Saya pasti, anda juga akan bertemu dengan masalah-masalah yang akan merungsingkan anda. Tetapi anda perlu ingat, setiap masalah ada jalan penyelasaiannya. Setiap jalan penyelesaian adalah berbeza-beza bagi setiap orang. Mungkin anda akan menemui jalan yang terbaik daripada yang saya lakukan.

Jangan lupa, untuk menjadi seorang penternak yang berjaya anda perlulah banyak bertanya terutama sekali kepada otai-otai penternak ikan keli kerana mereka lebih banyak pengalaman. Jangan malu bertanya, sebab otai-otai pun bermula daripada '0' (kosong). Tiada siapa pun yang dilahirkan pandai dimuka bumi melainkan melalui proses pembelajaran yang berterusan. Sehinggakan Nabi Muhammad S.A.W sendiri pun menerima tunjuk ajar daripada Allah S.W.T melalui perutusan malaikat Jibrail dari masa ke semasa. Jangan jadi 'bodoh sombong' kerana inilah yang akan memabantutkan pengetahuan anda kerana anda menganggap diri sudah pandai dan tidak mahu menerima teguran orang lain.

Di sini ada beberapa Tips yang boleh dikongsi oleh penternak ikan keli terutama sekali penternak ikan keli yang baru bermula.

TIPS 1: PROJEK KALI PERTAMA MULAKAN DENGAN SEDIKIT

Kenapa sedikit? Sebabnya anda baru bermula. Jika anda adalah penternak yang baru bermula dan merupakan pengalaman pertama atau projek pertama, anda juga melabur sebahagian besar modal anda kerana melihat ianya satu projek yang sangat menguntungkan serta memberi pulangan yang cepat, terus terang saya katakan anda silap langkah. Katakanlah anda telah laburkan modal sebanyak Rm20,000 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu) banyak tu dan ditakdirkan anda salah teknik menyebabkan 80% ternakan anda mati, saya tidak akan silap mengatakan anda akan menyumpah dan menendang kolam kanvas anda sekuat hati. Anda akan berkata "ikan keli ini bukan bidang aku dan inilah projek pertama dan terakhir !!". Sayang, anda tersilap. Orang putih ada berkata "jangan letak telur dalam satu bakul". Oleh sebab itulah, saya sarankan anda bermula dengan sedikit, jangan ikut nafsu sebab belum ada pengalaman. Saya tekankan, pengetahuan dengan membaca nota atau buku sahaja belum mencukupi, mahu tidak mahu anda kena hadapi latihan secara amali. Ramai penternak yang gulung tikar sebab perkara ini, terus mencuba dengan modal yang besar. Lagi satu, jangan pula anda terpedaya dengan janji pihak-pihak yang cuma menawarkan pembelian alat yang konon-kononnya dapat memberikan hasil yang lumayan tetapi sebalik hanya mengambil keuntungan penjualan alat. Untung entah ke mana, ikan keli entah ke mana. Oleh itu, mulakan dengan sedikit serta buat sedikit kajian dan cari jalan penyelesaian setiap masalah yang dihadapi. Buat catitan dan jangan lupa cari seberapa banyak maklumat dan rajin-rajinlah bertanya. Anda pasti tidak akan kecewa. Saya tidak akan dapat terangkan satu persatu apa masalah anda melainkan anda sendiri akan bertemu dengan masalah tersebut secara amali dan cari jalan penyelesaian atau bertanya pada yang pandai. Percayalah, pengetahuan anda akan bertambah dan anda akan jadi pakar. Barulah rancang untuk buat projek besar, betul tak.

TIPS 2: BIAR BANYAK KOLAM

Ini penting. Ada orang kata tebar dalam satu kolam tu lebih baik. Satu kali boleh tebar sampai ratusan ribu anak benih. His..his.., saya ulang balik kata pepatah orang putih tu "Jangan letak telur dalam satu bakul". Oleh kerana bidang ini berkaitan benda hidup jangan letak risiko dalam satu kolam. Kenapa? Banyak jawapan untuk perkara ini antaranya, katakanlah kolam anda telah tercemar dengan bahan kimia atau sebagainya. Jawapannya 100% K.O!. Kalau ini terjadi, bagaimana keadaan anda, kesian kan. Bukan itu sahaja, untuk servis kolam atau penuaian hasil pun anda akan mengalami banyak masalah, sebab kolam terlalu besar, kolam tanah lagi, nak keringkan air satu hal nak tambah air pun satu hal juga. Anda sukar untuk memantau terutama sekali masalah penyakit, pengawalan kualiti air dan saya pasti anda akan menerima hasil dalam sekitar tidak sampai 40% kerana bukan sahaja masalah air tercemar malahan anda tidak dapat mengawal kematian ternakan ikan keli yang disebabkan masalah kanibalisme yang perpunca kerana tidak melakukan penggredan.

Jadi, penggunaan kolam kecil terutama sekali kolam kanvas akan memudahkan anda memantau ternakan anda. Masalah penyakit senang dikawal. Katakan anda mempunyai 10 kolam ternakan dan 1 daripada kolam terkena penyakit, anda masih ada 9 kolam yang dapat memberikan anda pulangan. Kawalan dari segi mutu air senang dikendalikan. Kalau tidak percaya anda cuba dan anda akan berpuas hati.

TIPS 3: BUAT PENGGREDAN

Kelompok yang besar dengan yang besar, yang kecil dengan kecil. Setepat mana dan serajin mana anda buat pengasingan kelompok, akan meningkatkan hasil ternakan anda. Sebab, selain masalah air, penyakit keracunan dan sebagainya, inilah masalah yang sering menimbulkan kontroversi antara penternak dan ternakan ikan kelinya. Asalnya saya tebar 1000 ekor, hasilnya tinggal tidak sampai 400 ekor, paling sedih tidak sampai 200 ekor. Kemana ghaibnya, jangan-jangan kena curi? Akhirnya timbullah fitnah.  Hati-hati, kerana ikan ini nampak lembut tapi sebalik pemangsa yang cekap dan yang lebih sadis lagi yang dimangsa adik beradiknya sendiri. Kalau haruan boleh makan anak, ikan keli pun apa kurangnya. Jadi, ini penting untuk menjadi seorang penternak yang berjaya kena rajin-rajinlah buat penggredan. Tidak rugi buat sedikit kerja tapi hasilnya sangat lumayan. Kalau tidak percaya, cubalah buat praktikal sendiri.

O.klah saja untuk tips hari ini. Untuk akan datang saya akan berikan beberapa tips lagi hasil daripada penyelidikan saya sendiri dalam bidang ternakan ikan keli ini.

SELAMAT MENTERNAK IKAN KELI DAN SELAMAT MAJU JAYA.


TIPS MENJADI PENTERNAK IKAN KELI YANG BERJAYASocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...