KUALITI MAKANAN, adalah sumber yang dapat menentukan kesuburan induk keli. Bukan sahaja ikan keli, malahan ikan-ikan yang lain juga sudah semestinya memerlukan sumber makanan yang paling terbaik. Induk ikan tidak perlukan makanan yang banyak, tetapi perlu makanan yang berkhasiat dan segar.
Memberi makan bangkai ayam atau organ-organ ayam kepada induk keli dapat mengundang penyakit kepada ikan keli. Ikan keli akan lembik terlalu berlemak dan berbau. Kandungan telur akan menurun dan kurang subur.
Jika sewaktu rega, anak ikan keli perlukan udang halus seperti artemia, induk keli juga perlukan udang yang segar untuk mengekalkan kesihatannya dan kesuburan. Antara makanan yang terbaik yang boleh diberikan kepada induk keli adalah udang kara air tawar secara berkala. Tidak perlu beri makan hari-hari, cukup sekadar 2 - 3 kali seminggu diselang -seli dengan pemberian pelet pembesaran (grower). Penternak juga boleh menambah anak ikan hidup seperti ikan seluang atau anak talapia merah untuk menambah protein segar kepada induk keli.
Udang kara seperti ini juga, banyak terdapat di anak-anak sungai air payau.
Sumber makanan dari udang kara ini bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi adalah sumber alternatif untuk menambah kesuburan ikan keli. Selain itu, anda boleh memberikan makanan anak-anak ikan hidup yang mungkin banyak terdapat di sekitar anda seperti ikan seluang, anak ikan talapia, anak ikan haruan. Berikan makanan tersebut sekali-sekala dan anda akan lihat hasilnya.
Induk keli perlu dijaga rapi. Ia perlu di letakkan pada kolam yang berasingan dengan penjagaan yang istimewa. Makanan yang istimewa dapat mengekalkan kesihatan induk keli.
Induk keli akan mula matang pada umur 4 bulan. Apabila melepasi berat 250 gram, telur mula terbentuk pada induk betina. Kantung sperma pada ikan keli jantan juga sudah mulai matang. Alihkan bakal induk yang terbaik. Sihat dan kulitnya licin berkilat.
Manakala induk keli betina yang lepas melalui proses pengeluaran telur (pembenihan aruhan) perlu diasingkan pada kolam yang terasing sehingga sebulan. Ini membantu induk betina tersebut memulihkan tenaganya dan mengisi semula kantung telurnya untuk pembenihan akan datang.
Bagaimana melakukan pembenihan secara aruhan? Sila rujuk balik post saya yang lalu.
Selamat menternak.
0 comments:
Post a Comment