SALAM kepada semua penternak ikan keli di seluruh Malaysia amnya dan di Sabah khususnya. Semoga semuanya sukses dan ceria-ceria selalu.
Seperti yang kita ketahui, tidak lama lagi kita akan sampai ke bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini 2013 insya Allah. Semua yang beragama Islam sudah semestinya menyiapkan segala-galanya untuk menyambut Ramadhan yang mulia.
Apabila kita tiba di bulan Ramadhan, sudah semestinya permintaan terhadap lauk-pauk semakin bertambah.
Kewujudan gerai-gerai penyediaan makanan di bazar Ramadhan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan menjanjikan rezeki kepada peniaga-peniaga kerana kebanjiran manusia mencari lauk hidangan untuk berbuka puasa sudah menjadi satu kemestian.
Begitu juga permintaan terhadap lauk yang berasaskan ikan keli sudah semestinya akan mengambil tempat di bazar-bazar ramadhan. Maka akan berlaku juga satu fenomena di mana penternak kehabisan stok bekalan ikan keli.
Keadaan ini sudah menjadi lazim kepada semua penternak di mana kolam akan kering kerana isi kolam sudah habis diborong oleh penjaja ikan keli salai untuk bazar Ramadhan, Alhamdulilah.
Permintaan ikan keli semakin laris bila menjelang Ramadhan. Malahan, permintaan ikan keli akan semakin bertambah kerana semakin ramai penggemarnya.
Ini membuktikan bahawa ikan keli mempunyai potensi yang sangat besar jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Setiap yang diusahakan akan mendatangkan hasilnya, insya Allah.
Teringat saya ketika mula-mula menceburi bidang ternakan ikan keli ini, beberapa rakan cuba mengejek dengan mengatakan ikan keli tidak ada permintaan. Saya tetap yakin dengan usaha saya dan ternyata hari ini telah membuktikan bahawa BEKALAN IKAN KELI TIDAK PERNAH MENCUKUPI.
Apabila saya berada ditepi kolam, saya sentiasa memikirkan “bagaimana cara untuk mencukupi keperluan ikan keli ini”.
0 comments:
Post a Comment