Serunding keli ke pasaran antarabangsa
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR (dipetik dari Utusan Malaysia Online)
SEPANG 13 Julai - Serunding ikan keli bakal menembusi pasaran China dan Asia Barat menjelang September ini.
Pengurus Besar Delegasi Mutiara Sdn. Bhd., Mishar Minhat berkata, ia adalah langkah permulaan bagi Malaysia mempromosikan produk makanan tempatan ke pasaran antarabangsa.
Selain itu kata beliau, sambal ikan keli dan ikan keli dalam tin juga akan turut dipasarkan ke negara-negara tersebut.
''Kami juga berjaya memasuki pasaran Amerika Syarikat dan United Kingdom,'' jelasnya pada Bengkel Insentif Usahawan Ikan Keli Mega-Utusan di sini hari ini.
Bengkel tersebut dianjurkan bersama Pusat Pengembangan, Keusahawan dan Pemajuan Pofesional (APEEC) Universiti Putra Malaysia (UPM), AgroBank dan Active Surge Sdn. Bhd. (ASSB).
Mishar berkata, pada masa ini pihaknya akan mensasarkan sebanyak 60 peratus penjualan produk untuk pasaran antarabangsa dan 40 peratus bagi pasaran tempatan.
''Pemasaran keli ini masih lagi berada dalam peringkat percubaan, namun kita yakin produk tersebut mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
''Kami yakin produk tersebut memiliki pasaran yang cerah kerana penduduk dunia hari ini semakin menggemari ikan air tawar berbanding ikan laut,'' ujarnya.
Beliau berkata, Delegasi Mutiara akan menggunakan jenama Rawbite sebagai identiti produk-produk tersebut.
''Rawbite sudah didaftarkan sebagai sebuah jenama rasmi untuk produk syarikat kami,'' ujarnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, syarikat juga sedang dalam peringkat akhir untuk membuka kilang penghasilan makanan untuk haiwan ternakan di Terengganu.
''Kilang sedang dalam proses pemasangan mesin dan dijangka mula beroperasi pada pertengahan Ogos ini,'' katanya.
Tambahnya, projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha syarikat membantu golongan petani dan penternak untuk mengurangkan kos pengeluaran mereka.
0 comments:
Post a Comment