GOL !! itulah yang perlu dicari. Walaupun ‘gol’ itu lebih sinonim untuk permainan bola, namun ‘gol’ itu bagi kita para usahawan adalah menjurus kepada kejayaan matlamat yang telah kita ‘target’. Kena pada sasaran, wujud seperti apa yang kita fikirkan, sampai seperti apa yang kita mahukan.
Sahabatku usahawan ikan keli, jom kita lihat perjalanan yang telah kita lalui 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan lebih 10 tahun yang lalu. Paling baik gambaran itu sewaktu baru bermula kita menternak ikan. Di mana kedudukan anda waktu itu, saya percaya kita sama-sama rasa ingin tahu untuk mendalami atau mempelajari selok-belok tentang ikan keli. Rasa minat yang mendalam akhirnya membawa kita ke dunia ternakan ikan keli. Tidak dinafikan, atas kerana inginkan wang lebih menjurus kita ke situ. Saya percaya, waktu itu anda ghairah dan bersungguh-sungguh untuk mencuba sehingga anda memperolehi kejayaan menternak ikan keli. Tapi, setelah memperolehi hasilnya selama bertahun-tahun, semangat anda semakin menurun, menurun dan hilang. Mencuba bidang yang lain, berlaku perkara yang sama, bersemangat bertahun-bertahun memperolehi hasil, minat semakin menurun, menurun dan hilang. Lihat kolam kembali atau terdengar rakan yang berjaya dalam ternakan ikan keli, mencuba lagi ternakan keli, bersemangat dan bertahun-tahun menerima hasil, semangat kembali turun, menurun dan hilang. Inilah kebanyakkannya yang telah berlaku kepada ramai usahawan-usahawan otai.
Situasi di atas sering saja berlaku, kebanyakkan penternak yang lama hanya tinggal kolam sahaja, tidak ada yang mewarisi. Akhirnya usaha anda semakin berkubur. Namun, oleh kerana permintaan ikan keli yang tidak pernah berkubur, akhirnya usaha ini diambil alih oleh warga asing dan mereka terus menerus mengembangkan industri ini dan akhirnya menjadi jutawan di negara kita Malaysia.
Kelemahan yang ada pada kita sebenarnya ialah hilangnya keghairaan, hilangnya kecintaan. Maka itu, apabila cinta kita terhadap terhadap ternakan keli ini hilang, maka tiadalah industri ikan keli ini dalam kehidupan kita. Rapuhnya semangat inilah yang menyebabkan keperluan ikan keli seperti ombak, sekejap tinggi sekejap rendah. Sekejap banyak, sekejap tiada. Oleh itu, apa yang dapat saya kongsikan tuan-tuan, sebenarnya masalah kita berlaku apabila hilangnya komuniti dalam industri ini. Tiada sesiapa yang ingin berkongsi. Duduk jauh-jauh buat aktiviti sendiri. Inilah yang menjahanamkan apa-apa usaha. Saya setuju dengan pepatah melayu '”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Apabila kita berada dalam satu komuniti yang akan bercerita, berbincang dan berniaga atas satu benda seperti ‘ikan keli’ maka lahirlah keghairaan, kesungguhan dan kecintaan kita dalam industri ini. Sana sini kita ceritakan kejayaan masyarakat kita yang berjaya dalam ternakan keli. Dari bidang jual benih hingga eksport ikan keli atau buka kilang sardin keli, sudah cukup membuatkan industri ini amat menyeronokkan. Tapi kalau kita sentiasa berubah topik, sekejap cerita ikan keli, sekejap cerita burung walit, sekejab cerita benda-benda lain, sah kita akan gagal kerana tiadanya ‘gol’ yang kita tetapkan.
Bagi mereka yang masih mencari-cari apa projek yang akan dilakukan, buatlah pilihan yang tepat. Kalau rasa nak buat ternakan ikan keli, buatlah ikan keli bersungguh-sungguh. Kalau rasa nak buat burung walit, buatlah burung walit bersungguh-sungguh. Jangan buat separuh jalan kerana ianya akan merugikan wang dan masa kita. Belajarlah dari mereka yang sudah berjaya, dan lihatlah kejayaan mereka dan perjalanan mereka untuk sampai kepada kejayaan yang mereka kecapi sekarang. Semoga anda terus berjaya dalam bidang ikan keli atau bidang-bidang yang lain dan teruskan usaha. Saya bukanlah terlalu pakar dalam bidang ternakan ikan keli, tapi tidak salah untuk kita ingat mengingati kerana kita sebagai manusia sering alpa siapa kita dan tujuan kita. Siapa kita itu tidak penting tapi ke mana arah kita itu yang lebih penting. Salam penternakan untuk semua.
Baca Selanjutnya.. (Read More)