Monday, March 26, 2012

PASARAN IKAN KELI SEMAKIN BERKEMBANG

PERKEMBANGAN permintaan ikan keli di Sabah sudah mula menunjukkan tahap yang baik di mana kebanyakkan restoran-restoran di sekitar Kota Kinabalu mula menjadikan ikan keli sebagai menu mereka. Manakala pelanggan yang datang ke ladang kami juga menunjukkan perkembangan yang baik. Ini memberikan satu petunjuk kepada mereka yang meminati bidang ini untuk membesarkan projek mereka. Usaha ini perlu diteruskan terutama mereka yang duduk di kampung yang mempunyai tanah yang luas mengambil peluang perniagaan ikan keli sebagai penambah rezeki keluarga.

Permintaan yang konsisten pada masa akan datang memberi ruang kepada penternak ikan keli menambah pendapatan di samping menjalankan perniagaan yang lain. Oleh itu, usaha ini perlu digalakkan secara terus-terusan oleh pihak kerajaan agar bidang ini menjadi padang rezeki kepada penternak.

Bagi mereka yang makan gaji, ternakan ikan keli ini juga boleh dijadikan pendapatan sampingan memandangkan penjagaannya yang amat mudah serta tidak membebankan. Dengan hanya memberi makan pagi dan petang, ikan ini mampu membesar dengan baik dalam kolam kanvas di tepi rumah anda.

Percayalah, dengan teknik yang betul kos dapat dikurangkan. Ditambah dengan penghasilan sendiri anak benih, sudah tentu dapat memberikan pulangan kepada penternak. Apa yang penting, minat yang mendalam terhadap bidang ini.

Permintaan ikan keli akan sentiasa berterusan, hanya tinggal penternak sahaja yang merebut peluang ini. Bagi saya, ternakan ikan keli ini sangat mudah, tahan lasak, tahan musim dan mudah dijaga. Apa yang penting pengetahuan anda perlu ditambah dengan banyakkan bertanya, ikuti kursus dan mencontohi penternak yang berjaya. Sehingga sekarang pun saya masih seronok dengan ternakan ikan keli ini dan Alhamdulillah permintaan ikan keli pada masa sekarang amat..amat..amat menggalakkan.

“JIKA ADA RUANG, ADA PELUANG, KENAPA TIDAK MENCUBA?”

…SELAMAT MAJU JAYA KEPADA RAKAN TERNAK. ADA KEMUSYKILAN, JUMPA TERUS SAYA DI LADANG….

PASARAN IKAN KELI SEMAKIN BERKEMBANGSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...