SERING ditanya, berapa lama ikan keli ini kita ternak sampai saiz boleh jual? Saya jawab, dekat 1 tahun….kalau kau ternak keli kampung. Tapi keli kacukan clarias gariepinus cuma perlu masa 3 bulan ke 4 bulan sahaja. Kalau penternak mula tebar benih dari saiz 3 inci, mungkin hanya ambil masa 2 bulan sahaja sudah boleh tuai. Namun ada juga yang tanya, kenapa keli saya sudah 4 bulan tapi masih tidak mau besar-besar, makin kurus ada?
Bergantung dengan teknik dan kaedah penternakan yang betul, juga sumber air yang sesuai, ikan keli tidak perlu pun makan terlalu banyak untuk menjadikan ianya gemuk, berisi dan membesar dengan baik. Cukup dengan menternak ia dalam kolam yang subur.
KOLAM YANG SUBUR?
Kesuburan yang dimaksudkan ialah apabila kolam ternakan kita mengandungi plankton yang subur, seperti di habitat asal ikan keli, maka ikan keli akan membesar dengan sempurna walaupun kadar pemberian makanan tidak mengikut FCR yang ditetapkan. Perlu kita ingat bahawa, ikan keli akan menyedut bentos, sisa bahan reput, alga dan memakan pelet yang kita berikan sebagai makanannya. Jika air kolam kita sentiasa jernih macam air akuarium, bermakna kolam kita tidak subur, terlalu kosong. Ini yang menyebabkan ikan yang diternak akan terbantut iaitu lambat membesar. Suhu air kolam, matahari dan kandungan organik juga mempunyai pengaruh yang besar dalam kesuburan air kolam. Dalam post yang lalu, saya banyak menyentuh tentang air dan kesuburan kolam, sila rujuk kembali.
0 comments:
Post a Comment