Monday, February 27, 2012

Perlis bakal keluar sardin keli

Sumber: UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 11/11/2010

KANGAR 10 Nov. - Perlis akan menjadi pengeluar sardin ikan keli apabila sebuah kilang memprosesnya dibina di Taman Halal Hab, Padang Besar tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad berkata, kilang berharga RM2 juta itu akan dibina oleh sebuah syarikat luar negara namun beliau tidak mengumumkan nama syarikat terbabit.
Beliau berkata, kewujudan kilang itu kelak akan merancakkan lagi industri ternakan ikan keli secara komersil terutama di Perlis dan utara Kedah tetapi sebagai permulaan, projek ternakan ikan keli secara komersil telah bermula di Bukit Manik dekat sini sejak awal Oktober lalu.
Projek yang membabitkan penyertaan 70 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dilaksanakan melalui peruntukan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM700,000 dengan Jabatan Perikanan menyediakan khidmat teknikal dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pelaksana pengurusannya.
Bercakap kepada Bernama selepas menyampaikan benih ikan keli dan makanan ikan itu kepada 247 penternak di sini hari ini beliau berkata, projek di Bukit Manik itu berkeupayaan membekalkan 60 tan metrik ikan keli setiap bulan.
Katanya, sebanyak 120,000 ekor ikan keli diternak dalam 60 tangki separa konkrit bagi satu pusingan dengan tempoh matang ternakan itu ialah tiga bulan.
Mengenai penyerahan benih ikan keli itu Sabry berkata, ia merupakan program di bawah projek Bumi Hijau Jabatan Perikanan Perlis melalui peruntukan sebanyak RM81,000.
Para penerima benih ikan keli itu terdiri daripada para pengusaha yang terbabit di bawah projek Bumi Hijau itu sejak 2008. Hadir sama di majlis itu ialah Pengarah Perikanan Perlis, Sukri Deris. - BERNAMA

Perlis bakal keluar sardin keliSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...