SETIAP JENIS IKAN yang diciptakan oleh Tuhan tidak sama antara satu sama yang lain. Setiap ikan ada kelebihannya tersendiri. Inlah keunikannyanya dunia ikan. Saya tidak akan bincangkan tentang morfologi ikan itu tetapi hari ini saya hendak menyentuh tentang paras air kolam serta tindakbalas ikan khususnya ikan keli dengan kadar paras air kolam ternakan.
Kenapa paras air sangat penting?
Lain ikan lain paras airnya. Jika anda terlibat dengan penternakan ikan yang jenis bersisik seperti ikan tilapia, mungkin anda sangat perlukan air yang dalam dan sedikit berarus. Kandungan oksigennya harus tinggi untuk membenarkan ikan tilapia terus membesar. Tapi lain dengan tabiat ikan keli hibrid (clarias garfiepinus). Ikan keli ini tidak perlu air yang dalam dan tidak perlu air yang berarus. Ikan keli sebenarnya ikan yang suka di tempat cetek, suhu air yang tinggi sekitar 27 darjah celsius sehingga 33 darjah celsius. Namun dari pengalaman saya sendiri suhu air mencecah sehingga 35 darjah celsius pun ikan ini mampu hidup dan membesar. Ikan yang biasa dengan suhu ekstrem begini amat agresif, cergas, besar dan sihat. Tapi ikan keli yang diternak di kolam yang airnya dalam dan sejuk kurang agresif, lemah dan kurus.
Mengapa ini berlaku ?
Pertama sekali air kolam perlukan satu keadaan di mana fitoplankton dan zooplankton boleh hidup subur. Oleh itu kadar ketembusan cahaya perlu ada, itu makanya air harus dicetekkan. Air yang dalam membantutkan perkembangan plankton kerana kurang ketembusan cahaya. Dalam suasan danau atau tasik, kawasan di mana air dalam terdapat kurang atau tiada sumber plankton. Air yang cetek juga dapat menstabilkan suhu. Jika air terlalu dalam, suhu akan terlalu sejuk dan jika terlalu cetek air akan terlalu panas terutama pada waktu tengahari. Kadar ketembusan cahaya dan kesuburan dapat mempercepat proses penghuraian oleh bakteria penghurai. Ini akan dapat menghuraikan ammonia dan karbon dioksida. Tindak aktif berlaku secara biologi dan pelepasan oksigen sangat aktif. Ikan akan sangat agresif dan nafsu makan bertambah. Hasilnya, air yang subur dan kurang berbau serta ikan yang sihat, cepat membesar dan pemberian makanan yang kurang. Ikan akan cepat membesar walaupun kadar FCR sangat kurang dalam pemberian makanan namun ikan tetap cepat membesar ini kerana kesuburan air membantu ikan ini mendapat tenaga. kesuburan air yang dipenuhi oleh plankton dan bakteria penghurai dapat menghasilkan asid amino dan zat-zat yang sangat berguna dalam pembesaran ikan. Ikan akan jadi lebih sihat dan kurang berlemak.
Untuk pengetahuan anda, dengan kesuburan air kolam, kadar pemberian makanan dapat dihadkan. Ini sangat penting untuk membiarkan ikan tersebut membesar secara semulajadi kerana dengan memaksa ikan ini memakan terlalu banyak pelet, isi ikan kurang enak sebab lebih berlemak. Ikan yang dibiasakan hidup dalam persekitaran air yang subur, mengandungsi asid omega yang tinggi dan kurang berlemak.
Ok, jadi apa tips yang perlu saya kongsikan dengan anda? Tipsnya adalah mengawal paras air kolam ternakan anda. Sila praktikkan dan lihat hasilnya.
1. Bagi kolam untuk pembesarn benih ikan dari mula menetas sehingga saiz agak-agak 3 inci, paras air kolam yang saya syorkan adalah lebih kurang 4 inci sahaja. Biarkan separuh kolam anda terbuka dan terdedah penuh dengan matahari dan sebahagian lagi ditutup dengan jaring penghadang matahari berketembusan cahaya sekitar 50%.
2. Pastikan air kolam bebas klorin dan sebaik-baiknya guna air perigi dan gunakan 200ml EM bagi setiap keluasan kolam 7 kaki X 11 kaki X 4 inci air. Pastikan EM dilarutkan terlebih dahulu dan barulah dicampur air kolam.
3. Bagi anak ikan yang bersaiz 1 inci, anda boleh memberikan anak ikan anda dengan pelet yang dihancur halus sebaik-baiknya dikisar halus. Berikan kadar makanan sederhana dan jangan terlalu 'over' atau jangan terlalu kerap, cukup sekadar 2 kali sehari. Selepas 2 minggu anak-anak ikan akan membesar dan lakukan penggredan dengan mengasingkan anak ikan yang bersaiz besar ke satu kolam yang berasingan. lakukan pemerhatian sekerap yang boleh untuk mempastikan anak-anak ikan yang lebih awal membesar diasingkan.
******************************************
Oklah setakat ini dulu. selamat mencuba dan selamat menternak. Kita akan berjumpa lagi pada tips yang seterusnya. Saya akan cuba berkongsi dengan anda dari masa ke semasa dan anda perlu mengetahui bahawa kebanyakkan tips yang saya berikan dalam blog ini anda tidak akan temui pada blog-blog yang lain kerana tips-tips yang saya berikan ini adalah berdasarkan pengalaman dan kajian saya sendiri. Semua kaedah yang saya nyatakan sudah diuji dan yang tinggal hanya cara pelaksanaan anda sahaja, Jika ada kemusykilan boleh berhubung terus dengan saya atau datang terus ke ladang projek keli kami di kampung Binsulok Membakut untuk penjelasan yang lebih lanjut. Selamat maju jaya.
BAGI YANG BERAGAMA ISLAM, SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL. salam dari saya En. man KELISABAH..
Powered by Qumana
0 comments:
Post a Comment